ebahasa

Peribahasa untuk sekolah menengah

In Uncategorized on February 18, 2010 at 7:18 am

Menengah Satu

Peribahasa Makna
1.   Bagai harimau beranak muda
  • Keadaan seseorang yang sangat bengis.
2.   Bagai itik berebutkan tembolok
  • Perbantahan kerana sebab yang terlalu kecil.
  • Perbantahan kerana makanan atau keuntungan yang sedikit.
3.   Seperti sampah hanyut
  • Orang miskin yang hidup melarat lagi hina.
4.   Bagai bulan kesiangan
  • Wajah yang pucat (tidak jernih).
5.   Bagaimana acuan begitulah kuihnya
  • Seseorang anak itu akan menurut budi dan perangai ibu bapanya.
  • Keadaan sesuatu itu menurut asalnya.
6.  Bagai Belanda minta tanah
  • Hal orang yang tamak; diberi sedikit hendak banyak, diberi banyak hendak semuanya.
7.  Bagai kaduk naik junjung
  • Orang yang hina apabila mendapat keistimewaan (mendapat pangkat dll) akan menjadi mengada-ngada.
8.  Seperti labah-labah cinta kepada telurnya
  • Perihal kasih sayang yang mendalam sekali dan sukar diceraikan.
9.  Air dicencang tiada putus
  • Perbalahan atau pergaduhan di antara saudara-mara itu tidak akan berpanjangan kerana ahkirnya mereka akan berbaik-baik semula.
10. Sebab buah dikenal pohonnya
  • Daripada tingkah laku serta pertuturan seseorang itu kita dapat mengetahui atau mengenali watak dan asal seseorang itu.
11. Seperti cacing kepanasan
  • Tidak diam atau tenang, selalu gelisah (kerana susah, sakit, malu dll.)
12. Seperti pucuk yang layu disiram hujan
  • Memperoleh barang yang sangat diharapkan.
  • Orang yang susah beroleh kekayaan, atau orang yang sakit beroleh penawar.
13. Seperti tikus jatuh ke beras
  • Seseorang yang mendapat kedudukan yang mewah.
  • Seseorang yang telah beroleh kekayaan atau keuntungan tetapi tidak mahu menceritakannya kepada orang lain.
14. Bagai udang tahi di kepala
  • Orang yang terlalu banyak dibebani hutang.
15. Busut juga ditimbun oleh anai-anai
  • Orang kaya juga yang bertambah kekayaannya.
  • Orang yang pernah bersalah juga yang dituduh jika terjadi sesuatu kejahatan.
16. Bagai ayam bertelur di padi
  • Hal seorang yang senang, tiada khuatir akan kekurangan apa-apa.
17. Takut titik lalu tumpah
  • Hendak mengelakkan kerugian kecil akhirnya mendapat kerugian besar.
18. Lintah darat
  • Orang yang kerja meminjamkan wang dengan mengambil bunga berlipat ganda.
19. Diam-diam lepu
  • Orang yang pada zahirnya baik dan jujur, tetapi sebenarnya jahat dan berbahaya sekali.
20. Bagai hujan jatuh ke pasir
  • Kebaikan (pertolongan dll) yang sia-sia (tidak berbalas).
21. Seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul
  • Tiada berguna menasihati orang, kalau kelakuan sendiri tiada sesuai dengan apa yang dinasihatkan itu.
22. Melepaskan anjing tersepit
  • Menolong orang yang tiada tahu membalas budi, melainkan kadang-kadang membalas dengan jahat.
23. Melepaskan batuk di tangga
  • Membuat sesuatu pekerjaan secara tidak bersungguh-sungguh.
24. Bagai tikus membaiki labu
  • Seseorang yang mencuba memperbaiki sesuatu yang tidak diketahuinya, akhirnya merosakkannya.
25. Seperti harimau menyembunyikan kukunya
  • Orang yang bijaksana tetapi menyembunyikan pengetahuan dan kebolehannya.
26. Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajam
  • Seseorang yang bodoh sekalipun, kalau diajar betul-betul pandai juga sudahnya.
27. Bukannya diam penggali berkarat, melainkan diam ubi berisi
  • Diam seseorang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja.
28. Garam jatuh di air
  • Seseorang yang sangat cepat menerima dan mudah memahami sesuatu pengajaran atau nasihat yang diberikan kepadanya.
29. Tak usah itik diajar berenang
  • Tindakan yang sia-sia apabila cuba mengajar seseorang yang sudah mahir di dalam sesuatu ilmu atau pekerjaan.
30. Berhakim kepada beruk
  • Meminta pengadilan kepada seseorang yang tamak, akhirnya kedua-dua pihak akan mengalami kerugian.


SENARAI PERIBAHASA

Menengah Dua

Peribahasa Makna
1.  Jadi umang-umang
  • Orang yang menyamar kerana sesuatu muslihat.
  • Barang yang sama jika berlainan keadaannya maka berlainanlah pula namanya.
2.  Bagai tanduk bersendi gading
  • Jodoh yang tidak sepadan.
  • Barang yang tiada berharga diberi berbingkai dengan yang barang yang berharga.
3.  Bagai denai gajah lalu
  • Kerosakan yang besar.
4.  Seperti gunting makan di hujung
  • Seseorang yang tiada disangka, tetapi dengan sembunyi-sembunyi dan perlahan-lahan ia melakukan perbuatannya.
  • Orang yang bijak mengeluarkan perkataan yang tajam (pedas) tetapi tidak terasa oleh orang lain.
5.  Berkerat rotan berpatah arang
  • Putus pertalian (perhubungan) yang tidak dapat disambung (didamaikan) lagi.
6.  Pipit pekak makan berhujan
  • Seorang yang sangat rajin dalam suatu pekerjaan, tiada peduli akan bahaya, yang akan timbul pada dirinya.
7.  Seperti api dalam sekam
  • Perihal perbuatan jahat yang disembunyikan tiada ketara pada orang atau berlaku secara diam-diam.
8.  Biduk lalu kiambang bertaut
  • Perselisihan faham yang berlaku di antara saudara-mara akan berakhir dengan perdamaian semula (sesuatu pergaduhan atau perselisihan faham yang dapat diselesaikan).
9.  Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu juga
  • Tidak sama kasih kepada anak sendiri dengan kasih kepada anak orang.
10. Gulung tikar
  • Rugi dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan.
11. Ikat perut
  • Menahan makan atau minum kerana kemiskinan atau dengan tujuan untuk mengumpul wang .
12. Batu yang selalu bergolek di dalam sungai tiada dihinggapi lumut
  • Seseorang yang selalu bertukar-tukar kerja tidak akan mencapai kejayaan dalam kerjayanya dan sukar untuk menjadi seorang yang kaya.
  • Orang yang selalu menambah pengetahuannya tidak dapat ditipu orang.
13. Baru hendak bertunas, sudah dipetik lama-lama matilah pokoknya
  • Ibarat orang berniaga baru mendapat keuntungan sedikit sudah berbelanja besar, akhirnya habislah modal.
14. Besar pasak dari tiang
  • Berbelanja lebih besar daripada pendapatan yang diperolehi.
15. Bagai kerakap atas batu, hidup enggan mati tak mahu
  • Perihal seseorang yang hidup dalam kemiskinan dan melarat.
  • Perihal seorang yang telah lama mengidap penyakit.
  • Tanaman yang tidak tentu hidup-matinya.
16. Terang tanah
  • Mendedahkan kejahatan dan keburukan seseorang.
  • Waktu awal pagi – pada waktu matahari mulai memancar dan tanah mulai kelihatan.
17. Laksana bunga dedap, sungguh merah tidak berbau
  • Orang yang elok dan tampan tetapi tidak berbudi bahasa; kerana itu tiada berguna di dalam pergaulan.
18. Bagai unta menyerah diri
  • Orang yang bodoh dan terlalu lurus itu selalu menjadi mangsa orang-orang yang lebih pintar dan cerdik.
19. Umpama air digenggam tiada tiris
  • Orang yang sangat kikir atau bakhil tidak sedikit jua terbuka tangannya untuk menolong orang yang sengsara.
20. Seperti gergaji bermata dua
  • Orang yang pura-pura berbuat baik kepada dua belah pihak sehingga beroleh keuntungan daripada kedua-duanya.
21. Seperti seludang menolak mayang
  • Menggahkan atau menyombongkan diri.
22. Air yang dingin juga yang dapat memadami api
  • Perkataan yang lemah-lembut jua yang dapat mendinginkan hati orang yang sedang marah dan panas, menghilangkan dendam kesumat.
23. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga
  • Jika ilmu atau kebolehan kita sedikit, janganlah kita cuba berbuat (melawan dll) orang atau sesuatu yang besar.
24. Jauhari juga yang mengenali manikam
  • Orang yang bijaksana jua yang mengetahui keelokan ilmu, yang menghargai sifat mulia dan tahu menilai ketinggian mutu sesuatu barang itu.
25. Kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa
  • Pengetahuan dan kelebihan itu tidak khusus pada orang-orang tua sahaja, selalu juga ada pada orang-orang muda.
26. Tong kosong nyaring bunyinya
  • Seseorang yang bodoh itu biasanya banyak cakapnya.
  • Orang yang sobong, besar cakap tidak berisi/tak bererti.
27. Tukang tidak membuang kayu
  • Orang yang cerdik, sayang kepada segala macam orang, kerana masing-masing ada gunanya.
28. Kalau tidak ada helang, belalang menjadi helang
  • Seseorang yang bertindak mengaku bahawa dirinya seorang yang bijak serta pandai apabila dia mendapati tidak ada lagi orang yang lebih bijak dan pandai di tempat itu.
29. Bodoh-bodoh sepat, tiada makan pancing emas
  • Walaupun seseorang itu bodoh tetapi dia masih tahu memilih yang mana baik ataupun yang mana buruk untuk dirinya.
  • Orang bodoh yang mendapat kecelakaan kerana berpura-pura bersikap seperti orang pandai.
30. Laksana wau melawan angin
  • Kehendak orang atasan atau orang yang berkuasa tidak dapat dihalang oleh orang bawahan ataupun orang yang lemah, jika dilawan binasalah diri.
  • Membuat pekerjaan yang tidak mungkin terkerjakan.


SENARAI PERIBAHASA

Menengah tiga

Peribahasa Makna
1.  Air pun ada pasang surutnya
  • Keadaan kehidupan seseorang tidak tetap, ada kalanya senang dan ada kalanya susah.
2.  Air tenang jangan disangka tiada buaya
  • Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.
3.  Ayam terlepas tangan berbau tahi
  • Orang yang membuat pekerjaan yang ditegah, akhirnya mendapat malu.
4.  Belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tahu, berkata dengan yang pandai
  • Sesuatu pekerjaan besar yang hendak dilakukan eloklah diketahui pelaksanaannya oleh orang yang memang ahli dalam perkara itu supaya selamat.
5.  Belum duduk berlunjur dahulu
  • Menganggap sudah memperolehi atau memiliki sesuatu perkara yang belum pasti dimiliki atau dikuasai.
  • Orang yang lekas-lekas marah walaupun orang yang dimarahinya itu belum terbukti kesalahnnya.
6.  Besar periuk besar keraknya
  • Orang yang berpendapatan besar, besar juga perbelanjaannya.
7.  Biar putih tulang jangan putih mata
  • Mempertahankan sesuatu yang menjadi hak kita walaupun nyawa kita terancam.
  • Lebih baik mati daripada menanggung malu.
8.  Buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali
  • Berbuat baik hendaknya berhad (jangan berlebih-lebihan), pekerjaan jahat jangan sekali-kali dibuat.
9.  Burung terbang dipipiskan lada
  • Merancang sesuatu yang belum pasti diperolehi.
10. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis
  • Hendaklah sentiasa berhati-hati supaya jangan terpedaya dan habis harta dengan percuma.
11. Kuku besi
  • Pemerintahan yang berdasarkan atau cenderung menggunakan kekerasan (kekejaman, paksaan).
12. Kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tiada tampak
  • Kesalahan (keburukan)orang lain walaupun kecil dapat dilihat tetapi kesalahan sendiri biarpun besar tidak disedari.
13. Menconteng arang di muka
  • Melakukan sesuatu perbuatan buruk yang  boleh memberi aib atau mencemarkan nama baik ibu bapa atau keluarga.
14. Berapa berat mata memandang, berat juga bahu memikul
  • Sesusah-susah orang yang melihat penderitaan seseorang itu tentulah tidak sama dengan penanggungan orang yang menderita itu sendiri.
15. Seperti embun di hujung rumput
  • Sesuatu perkara yang tidak kekal dan segera hilang (kasih sayang dll).
16. Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
  • Sesuatu yang telah terlanjur dibuat  salah, hendaklah dibetulkan dengan dibuat semula dari awal.
  • Jika tidak boleh dicapai persetujuan dalam sesuatu mesyuarat hendaklah diselidiki kembali pokok persoalannya, supaya dapat pertimbangan yang baik.
17. Berani kerana benar, takut kerana salah
  • Bertindak kerana berada di pihak yang benar.
18. Ukur baju di badan sendiri
  • Sesuatu pekerjaan yang hendak kita lakukan biarlah bersesuaian dengan kebolehan kita.
  • Kejahatan kita jangan dijadikan pengukur kejahatan orang lain; darjat kita jangan disamakan dengan darjat orang lain.
19. Bagai meludah ke langit, muka juga yang basah
  • Melawan atau membantah orang yang berkuasa, kita juga yang susah.
20. Ditatang bagai minyak yang penuh
  • Sangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurnanya.
21. Seperti orang buta kehilangan tongkat
  • Orang bodoh, tiada pula berusaha dalam pekerjaan, sehingga menjadi sesat kehidupannya.
  • Berada dalam kesusahan.
22. Seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin tinggi
  • Orang yang bangsawan dan budiman serta berilmu itu makin tinggi martabatnya, makin merendah diri; bukannya seperti orang yang tiada berbudi dan jahil, apabila diperolehinya sesuatu kelebihan, ia pun sombong.
23. Bekal hidup
  • Harta yang dikumpulkan untuk perbelanjaan semasa hidup.
24. Membongkar sauh
  • Mengangkat sauh kerana hendak belayar.
25. Gajah berak besar, kancil pun hendak berak besar
  • Hendak meniru perbuatan orang besar atau kaya, akhirnya diri binasa.
26. Gajah mati meninggalkan tulang, manusia mati meninggalkan nama
  • Orang yang berjasa apabila mati kelak akan dikenang juga jasanya.
27. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah
  • Peperangan atau perselisihan yang berlaku antara dua pihak yang berkuasa menyebabkan rakyat yang binasa atau menderita.
28. Gelombang hidup
  • Hal ehwal yang berlaku dalam penghidupan manusia.
29. Gunung yang tinggi akan runtuh jika setiap hari digali
  • Harta benda yang banyak sekalipun akan pupus jika dibelanjakan dengan boros dan tiada ditambah-tambah lagi.


SENARAI PERIBAHASA

Menengah empat

Peribahasa Makna
1.  Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
  • Bermuafakat dalam sesuatu perkara agar senang atau susah sama-sama dirasai.
2.   Luka sudah hilang, parutnya tinggal juga
  • Sungguhpun dua orang yang telah berselisih faham atau bergaduh sudah berdamai kembali, keadaan berikutnya tidak akan seperti keadaan sediakala.
3.  Rosak tapai kerana ragi
  • Sesuatu pekerjaan yang dibuat dengan tidak cukup hati-hati (cermat) itu jaranglah jadi sempurna.
4.  Sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi
  • Seseorang yang mendapat sesuatu yang lebih baik, tidak menghiraukan lagi yang lama, yang dahulu pernah dipergunakannya.
5.  Bapa pergerakan
  • Orang yang pertama menjadi penaja, pelopor atau ketua sesuatu pekerjaan.
6.  Bekal mati
  • Membuat  kebajikan dan amal ibadat sementara hidup untuk menerima pahalanya di akhirat.
7.  Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya
  • Tidak akan tercapai cita-cita tanpa usaha yang gigih.
8.  Kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnya
  • Sesuatu perkara itu perlu disiasat dahulu dengan teliti dan tidak boleh setakat mendengar cakap-cakap orang sahaja.
9.  Kalau tidak ada berada, tak akan tempua bersarang rendah
  • Tentu ada sebabnya (ada sesuatu yang tersembunyi) maka terjadi sesuatu hal.
10. Keras-keras kerak nasi, kena air lembut juga
  • Sekeras-keras hati seseorang itu bila dipujuk dan dinasihati akan lembut juga; (berkenaan kemahuan, ketabahan, keberanian dsb seseorang).
11. Meski tertimbun dalam tanah, namun teras timbul jua
  • Seseorang yang berbudi baik itu, sekalipun dalam keadaan melarat, tetap berbudi dan berhati mulia.
  • Meskipun kebenaran itu belum terang, lambat laun akan menjadi kenyataan jua.
12. Muka berpandangan budi berkedapatan, kasih bagai selama jua
  • Seseorang yang mengetahui perbuatan jahat orang lain terhadap dirinya tetapi tidak menghiraukannya.
13. Pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak
  • Tiap-tiap yang bernyawa akan mati, baik tua, muda ataupun anak-anak kecil.
14. Rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana laku
  • Penyakit yang dihidapi itu boleh merosakkan keelokan rupa kita, begitu juga kelakuan yang keji itu boleh merosakkan nama baik bangsa kita.
15. Rumah sudah pahat berbunyi
  • Mengemukakan keterangan baru atau saksi baru setelah sesuatu diputuskan hakim.
  • Mencela atau bersungat tentang sesuatu yang sudah siap.
16. Gigi dengan lidah ada kalanya bergigit juga
  • Kerap kali terjadi juga perselisihan faham antara suami isteri, sanak saudara dan sahabat handai.
17. Seperti menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berserak
  • Bersikap bijaksana dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
  • Menghukum hendaklah seadil-adilnya, sehingga kedua belah pihak berasa puas.
18. Tangan mencencang bahu memikul
  • Jika kita membuat kesalahan kitalah yang harus menanggung akibatnya.
19. Tumbuk rusuk
  • Memberi wang rasuah.
20. Jika ular menyusur akar, tiada akan hilang bisanya
  • Orang besar atau mulia tidak akan hilang martabatnya jika ia merendahkan diri sekalipun.
21. Ambil patinya, buangkan hampasnya
  • Tiap-tiap cerita (kata) prang janganlah dihiraukan yang salahnya (buruknya), ambil sahajalah isinya yang betul (baik).
22. Seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi
  • Seseorang yang dipandang ringan oleh orang lain dan dianggap tidak berguna kepada masyarakat sebab tiada berkuasa apa-apa.
23. Berjalan pelihara kaki, bercakap peliharakan lidah
  • Dalam melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah sentiasa berhati-hati.
24. Besar kapal, besarlah gelombang
  • Makin besar darjat (perniagaan) makin besar pula bencana (kerugian) yang dapat menimpanya.
25. Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat
  • Kerana diadakan perundingan, dapatlah orang semuafakat dalam sesuatu maksud yang hendak dilakukan.
26. Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan?
  • Manusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan atau kesilapan.
27. Kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan
  • Dalam tutur kata dan tingkah laku seseorang, ada tersimpul beberapa kehendak hati.
28. Dalam menyelam cetek bertimba
  • Jika tidak mendapat hasil (rezeki) yang banyak, yang sedikit pun memadai.
29. Di padang orang berlari, di padang sendiri berjingkat
  • Tabiat orang yang tamak, mau menerima pemberian orang sahaja, tetapi memberi ia sekali-kali tidak mahu.
30. Hilang adat tegal muafakat
  • Sesuatu adat yang sudah berakar umbi dapat diubah jika ada persetujuan orang ramai.
31. Ikan terkilat jala pun tiba
  • Orang yang cepat menangkap maksud cakap orang lain, sebelum habis diperkatakan sudah dapat dijawabnya.
32. Baik membawa resmi ayam betina
  • Seseorang itu hendaklah selalu merendah diri dalam tutur kata dan perbuatan supaya tidak dibenci orang lain dan selamat dalam hidup.
33. Kail sebentuk umpan seekor, sehari putus sehari hanyut
  • Melakukan sesuatu dengan tidak cukup persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan (seperti berniaga dengan modal yang alang kepalang dll).
About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: